Harga Tiket Final Piala Malaysia Sama Seperti Piala FA – Bermula RM50
November 17, 2022 Hafizuddin Omar

Penganjur saingan bola tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 adalah sama seperti perlawanan akhir Piala FA 2022 yang lalu.

Bukan sahaja harga tiket yang sama, penjualan empat ‘tier’ tiket yang merangkumi dua kategori General Admission serta Premium Grandstand dan  VIP Grandstand turut dikekalkan bagi akhir yang dijadualkan berlangsung pada 26 November kelak.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MFL pada hari ini, harga keempat-empat ‘tier’ tiket itu ditetapkan seperti berikut:

General Admission 1 – RM50

Genaral Admission 2 – RM70

Premium Grandstand – RM150

VIP Grandstand – RM200

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam memaklumkan biarpun pihaknya berhadapan dengan peningkatan kos penganjuran namun harga tiket perlawanan akhir itu tetap dikekalkan sepertimana aksi akhir Piala FA yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara pada 10 September lalu.

“MFL membuat keputusan untuk mengekalkan harga tiket perlawanan akhir TM Piala Malaysia dengan mengambil kira kejayaan penganjuran final Piala FA 2022 di mana sambutan yang ditunjukkan oleh penyokong yang hadir ke stadium cukup hebat.

“Saya percaya dengan penetapan empat ‘tier’ harga tiket ini akan memberi lebih pilihan buat penyokong kedua-dua pasukan finalis yang ingin hadir ke stadium bagi menyaksikan aksi kemuncak TM Piala Malaysia kali ini.

“Untuk proses jualan tiket final ini pula akan ditentukan oleh pasukan finalis seperti yang dilakukan sebelum ini kerana dengan cara ini, tiket yang telah diperuntukkan kepada setiap kelab dapat dibeli oleh penyokong mereka secara sama rata dan adil,” kata Stuart.

Sepertimana Piala FA yang lalu, venue bagi perlawanan akhir Piala Malaysia juga kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen