Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia serta gandingan beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi kini dapat kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk berlatih bersama-sama pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bukan sahaja Zii Jia dan gandingan Yew Sin-Ee Yi, mana-mana pemain berstatus bebas (independent) dengan syarat menghuni ranking 50 dan ranking 30 terbaik dunia bagi kategori perseorangan dan beregu masing-masing turut sama boleh menyertai latihan di fasiliti yang terletak di Bukit Kiara tersebut.
Perkembangan ini hadir selepas BAM mengumumkan membuka pintu kepada pemain bebas untuk berlatih di ABM secara mingguan menerusi pelbagai platform laman sosialnya, semalam.
Difahamkan, sesi latihan ini melibatkan ‘sparring’ antara pemain senior naungan BAM dan bebas yang merupakan komponen penting dalam latihan bagi pemain-pemain badminton.
Bagi pemain bebas, jurulatih masing-masing turut dibenarkan hadir ke sesi latihan ini.
BAM INVITES INDEPENDENT PLAYERS FOR WEEKLY MATCHPLAY SESSIONS
Independent players now have the option to attend weekly matchplay sessions at PETRONAS ABM after the Badminton Association of Malaysia (BAM) announced plans to open their doors to the professional shuttlers. pic.twitter.com/NwPtbjtWqR
— BAM (@BA_Malaysia) November 21, 2022
BAM mencadangkan sesi ini dilangsungkan pada setiap hari Rabu pada sebelah pagi untuk pemain perseorangan mahupun beregu. Bagaimanapun, satu lagi sesi akan berlangsung pada hari Jumaat pada dalam minggu yang sama buat gandingan beregu.
Berdasarkan penjelasan daripada BAM, inisiatif ini akan memberikan manfaat bersama terhadap kedua-dua pihak iaitu para pemain naungannya serta pemain bebas.
Selain itu, perkara ini juga akan membantu meningkatkan kemesraan antara pemain dan para pegawai pasukan apabila mereka mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Uber, Piala Thomas, Piala Sudirman dan lain-lain lagi.
Featured Image: Badminton Asia