Jualan Jersi Sabah FC Meningkat 3 Kali Ganda Berbanding Tahun Lalu
November 22, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC merekodkan peningkatan jualan jersi yang amat ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Berdasarkan perkongsian daripada pihak kelab itu sendiri, Sabah yang menamatkan kempen Liga Super tahun ini di tangga ketiga memaklumkan menjual sebanyak 15,131 helai jersi setakat 3 November lalu.

Sebagai perbandingan, skuad berjulukan The Rhinos ini hanya menjual sebanyak 5,000 helai jersi sahaja sepanjang tahun 2021 lalu.

Bagi tahun 2022, Sabah yang mendapat tajaan kelengkapan pakaian daripada Lotto telah mengeluarkan tiga jenis jersi yang diberi nama Skin (home), Dua Belas (away) dan Crash (jersi ketiga).

Untuk makluman semua, bagi setiap jersi itu, terdapat dua variasi harga yang diletakkan iaitu RM99 (fans issue) dan RM139 (player issue) masing-masing.

Secara kasarnya, dengan mengambil nilai minimum iaitu RM99 dan didarabkan dengan jumlah 15,131 helai jersi yang telah terjual itu, Lotto sekurang-kurangnya telah mencatatkan jualan sekitar RM1,497,969 pada tahun ini.

Sebagai rekod, Sabah mendapat tajaan daripada Lotto bernilai RM2.2 juta untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Featured Image: Sabah FC

Komen