Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan seramai enam wakil negara layak beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir 2022 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 7 hingga 11 Disember hadapan.
Menariknya keenam-enam wakil negara yang layak beraksi di kejohanan yang menghimpunkan lapan wakil terbaik dalam setiap kategori serta menawarkan hadiah berjumlah 1.5 juta Dolar Amerika itu merupakan pemain beregu.
Gandingan beregu lelaki bebas (indpendent) Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi mara setelah berada di kedudukan yang selesa, tempat ketiga dalam Ranking Jelajah Dunia dengan pungutan 66,380 mata sepanjang tahun ini.
Mengikutinya ke kejohanan yang sama adalah juara dunia merangkap beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang mengumpul 54,040 mata.
Walaupun berada di kedudukan kesembilan dalam Ranking Jelajah Dunia, Aaron-Wooi Yik meraih tempat ke kejohanan ini selepas gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana terpaksa disingkirkan. Ini berikutan syarat kejohanan menetapkan hanya dua wakil terbaik sahaja negara yang sama berada dalam kelompok lapan teratas dapat melayakkan diri.
Bagi kategori beregu wanita, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien serta Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang berada di tangga ketujuh dan kelapan masing-masing layak untuk beraksi di kejohanan ini. Kedua-dua beregu ini berada di kedudukan berkenaan selepas mengutip 57,110 dan 56,290 mata masing-masing.
Dua wakil negara terakhir yang layak adalah beregu campuran iaitu gandingan Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai serta Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.
Kedua-dua ini berada di tangga keempat dan kelima dalan Ranking Jelajah Dunia setelah memungut 63,010 serta 57,430 mata masing-masing pada tahun ini.
BWF turut memaklumkan kesemua lapan pemain perseorangan mahupun beregu terbaik yang terpilih dalam setiap kategori telah mendapat undangan untuk menyertai kejohanan ini.
Kesemua pemain ini perlu mengesahkan penyertaan mereka menjelang 29 November 2022.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia