Piala Malaysia: JDT Tak Mahu Kecewa Seperti Tahun Lalu
November 24, 2022 Hafizuddin Omar

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu lagi menanggung kekecewaan seperti tahun lalu apabila tumpas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) sekaligus terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

Tahun ini, skuad berjulukan Harimau Selatan ini berhasil mengulangi lagi kemaraan ke perlawanan akhir Piala Malaysia setelah menumpaskan Sabah FC pada peringkat separuh akhir.

Menantinya di perlawanan akhir itu adalah Selangor FC yang mendapat bimbingan ketua jurulatih baharu merangkap bekas ketua jurulatih skuad kebangsaaan Malaysia, Tan Cheng Hoe. 

Penyerangnya, Bergson da Silva mengajak pasukannya untuk bersiap sedia untuk turun ke perlawanan ini bagi memenangi trofi Piala Malaysia.

“Kami berasa sangat gembira dengan kejayaan ini malah kami bermain seperti satu keluarga di atas padang dalam tiap perlawanan.

“Pasukan perlu bersedia untuk perlawanan akan datang, semua orang tahu kesukaran aksi di akhir bagi memenangi trofi Piala Malaysia namun kami akan cuba.

“Ini detik terbaik buat kami menebus terhadap apa yang terjadi musim lalu kerana kami tidak mahu kecewa dan menangis sekali lagi, jadi kami akan bekerja keras untuk aksi akhir ini,” kata Bergson.

Kempen Piala Malaysia ini juga menyaksikan Bergson memainkan peranan yang cukup penting dalam memacu JDT ke perlawanan akhir.

Penyerang kelahiran Brazil ini telah menyumbat enam gol dan berada di kedudukan kedua dalam carta penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen