Tiada Pemain JDT Dipanggil Sertai Kem Latihan Skuad B-23 Kendalian Elavarasan
November 25, 2022 Hafizuddin Omar

Kem latihan pusat bagi skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) yang pertama dikendalikan oleh ketua jurulatih baharu, E. Elavarasan nampaknya tidak mempunyai kelibat mana-mana pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).

Berdasarkan senarai 25 pemain yang dipanggil sepertimana dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam, ianya hanya melibatkan 8 pemain Selangor, 4 pemain Terengganu, 3 pemain KL City, dua pemain Kelantan dan Sri Pahang masing-masing.

Manakala bakinya merupakan seorang pemain dari Kelantan United, Kedah Darul Aman, Penang, Negeri Sembilan, PDRM dan Azul Claro Numazu masing-masing.

Bukan itu sahaja, lapan pemain yang berada dalam Senarai Bersedia untuk dipanggil sekiranya terdapat sebarang perubahan pada senarai 25 pemain utama turut tidak melibatkan sebarang pemain JDT.

Untuk makluman semua, kem latihan ini akan bermula pada 27 November dan tamat pada 6 Disember kelak. Ianya sebagai persiapan menghadapi pertandingan-pertandingan antarabangsa bagi tahun 2023.

Antaranya Kejuaraan AFF B-23, Sukan SEA 2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen