Artikel

Belanjawan Selangor 2023: RM2.24 Juta Untuk Baik Pulih & Bina Baru Infrastruktur Sukan

Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan akan meneruskan Projek Membaikpulih dan Membina Baru Infrastruktur Sukan bagi memartabatkan aspek pembangunan sukan dan aktiviti sukan serta melahirkan generasi muda yang sihat, aktif dan berdaya saing. 

Sehubungan itu, sejumlah RM2.24 juta diperuntukkan bagi mencapai tujuan tersebut. Untuk makluman, projek ini bertujuan membaikpulih infrastruktur sukan yang mengalami kerosakan selain membina baru infrastruktur sukan berdasarkan keperluan setempat.

Pengumuman itu hadir menerusi pembentangan Belanjawan 2023 oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube Selangor TV, pada hari ini.

Untuk pengetahuan semua, Amirudin ketika memulakan pembentangan yang bertemakan, #KitaSelangor: Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.45 bilion secara keseluruhan bagi Belanjawan 2023 sebagai persediaan menghadapi kelembapan ekonomi tahun hadapan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.25 bilion atau bersamaan 51 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala 1.2 bilion lagi adalah untuk perbelanjaan pembangunan. 

Sementara itu, Amirudin menganggarkan hasil yang boleh dikutip pula berjumlah RM2 bilion.

Featured Image: Facebook Amirudin Shari

komen