Artikel

Johor Darul Ta’zim Sapu Bersih Empat Piala Musim 2022

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup saingan bola sepak domestik musim ini dengan penuh gemilang apabila menyapu bersih keempat-empat piala yang dipertandingkan dalam kancah Liga Malaysia.

Kejayaan itu hadir selepas skuad berjulukan Harimau Selatan berhasil merangkul kejuaraan bagi saingan penutup bola sepak tempatan, Piala Malaysia.

Trofi itu menjadi milik skuad kendalian Hector Bidoglio selepas menumpaskan Selangor FC dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

Dalam pertarungan terbabit, Bergson da Silva muncul penjaring pertama buat JDT pada masa tambahan babak pertama menerusi sepakan percuma. Pada babak kedua, Fernando Forestieri menambah satu lagi jaringan buat JDT melalui sepakan lencong daripada permainan terbuka.

Manakala jaringan tunggal skuad Gergasi Merah pula dihasilkan oleh Herlison Caion pada minit ke-45 melalui sepakan penalti.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan Piala Malaysia yang ketiga diraih oleh JDT di bawah era pimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selepas edisi 2017 dan 2019.

Terdahulu, JDT telah berjaya merangkul kejuaraan Liga Super tanpa kalah, menjuarai Piala FA dengan menumpaskan Terengganu FC dan menjulang Piala Sumbangsih hasil mengalahkan Kuala Lumpur City FC (KL City).

Untuk makluman semua, kejayaan JDT menyapu bersih empat trofi dalam semusim atau dikenali sebagai ‘quadruple’ merupakan yang pertama pernah dicatatkan dalam sejarah bola sepak tanah air.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen