Artikel

JDT Hadiahkan Sabah Tiket Ke Saingan Piala AFC

Satu lagi tiket ke saingan Piala AFC pada musim hadapan nampaknya menjadi milik pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo iaitu Sabah FC.

Perkembangan ini hadir selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Malaysia 2022 hasil daripada menumpaskan Selangor FC dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

Kejuaraan itu menjadi milik skuad berjulukan Harimau Selatan hasil jaringan daripada Bergson da Silva dan Fernando Forestieri pada penghujung babak pertama dan awal babak kedua masing-masing.

Manakala jaringan tunggal Selangor pula hadir menerusi Herlison Caion menerusi sepakan penalti pada babak pertama.

Untuk makluman semua, penganjur, Malaysian Football League (MFL) menetapkan sekiranya juara bagi saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia merupakan kelab yang sama, maka, slot kedua ke saingan Piala AFC akan diberikan kepada pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Super.

Dalam hal ini, Sabah bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga meraih slot Piala AFC tersebut selepas JDT muncul juara bagi ketiga-tiga saingan, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

Sementara itu, slot pertama ke saingan Piala AFC pula menjadi milik Terengganu FC setelah menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

JDT bimbingan Hector Bidoglio pula meraih slot tunggal ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada musim hadapan hasil daripada meraih kejuaraan Liga Super. 

Featured Image: Sabah Football Club

komen