Artikel

Piala Dunia: Maghribi Cipta Kejutan Tundukkan Pasukan No.2 Dunia

Selepas memulakan kempen Piala Dunia dengan keputusan seri tanpa sebarang jaringan ketika bertemu Croatia pada Rabu lalu, Maghribi mencipta satu kejutan besar dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan F.

Dalam perlawanan terbabit, Maghribi yang dibimbing Walid Regragui – seorang jurulatih tempatan – berhasil mencetak kemenangan ke atas pasukan yang menghuni ranking No.2 dunia, Belgium dengan keputusan 2-0.

Kemenangan skuad berjulukan The Atlas Lions hadir menerusi jaringan pemain gantiannya, Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Aboukhlal pada minit ke-73 dan ke-90+4 masing-masing.

Belgium yang dibarisi rata-rata pemain bernama besar dan terkenal seantero dunia ternyata tidak mempunyai jawapan balas terhadap jaringan tersebut sekaligus terpaksa akur menerima kekalahan ini.

Hasil daripada kemenangan ini, Maghribi dapat mengutip tiga mata yang pertama daripada kempen Piala Dunia edisi ini. Kutipan mata ini membolehkan mereka menerajui Kumpulan F sekurang-kurangnya buat seketika waktu.

Kemenangan ini turut mencerahkan peluang Maghribi untuk mara ke peringkat kalah mati iaitu Pusingan 16 buat pertama kali selepas 36 tahun.

Untuk perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F, Maghribi dijadualkan menentang Kanada pada 1 Disember kelak.

Featured Image: FIFA World Cup

komen