Naib juara edisi lalu, Croatia memulakan kempen Piala Dunia edisi kali ini dengan ‘suam-suam kuku’ apabila sekadar merekodkan keputusan seri bertemu Maghribi pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, skuad kendalian Zlatko Dalic ini berhasil bangkit merekodkan kemenangan besar pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan F yang berlangsung di International Stadium Khalifa, sebentar tadi.
Pasukan yang menjadi mangsa kepada Croatia ini adalah Kanada bimbingan John Herdman yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama selepas 36 tahun.
Dalam pertarungan tersebut, Kanada terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-2 permainan menerusi satu tandukan cantik oleh Alphonso Davies.
Namun begitu, Croatia yang merupakan penghuni ranking ke-12 dunia berhasil bangkit bermula minit ke-36 untuk menyamakan kedudukan menerusi Andrej Kramaric. Tidak lama kemudian, Marko Liovaja memastikan Croatia mendahului 2-1 ke atas Kanada sebelum tamat babak pertama apabila.
Bersambung babak kedua, Croatia menambahkan duka buat Kanada dengan mencetak tambahan dua gol lagi menerusi Kramaric dan Lovro Majer pada minit ke-70 dan ke-90+4 masing-masing sekaligus menamatkan aksi ini dengan kemenangan besar 4-1.
Dengan kemenangan ini, Croatia kini menerajui Kumpulan F diikuti dengan Maghribi di tangga kedua. Walaupun kedua-dua pasukan ini memiliki 4 mata yang sama, Croatia menjadi pendahulu atas kelebihan perbezaan gol (goal difference) 3 berbanding 2 yang dimiliki oleh Maghribi.
Belgium pula di tangga ketiga dengan 3 mata manakala Kanada berada di tangga terbawah tanpa sebarang pungutan mata. Ini juga bermakna Kanada, berdasarkan kiraan matematik, sudah tersingkir daripada mara ke peringkat kalah mati, Pusingan 16.
Untuk perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F ini, Croatia akan bertemu Belgium. Manakala Maghribi pula dijadualkan menentang Kanada.
Kedua-dua perlawanan yang akan menentukan pasukan manakah muncul selaku juara dan naib juara Kumpulan F ini akan berlangsung serentak bermula jam 11 malam (waktu Malaysia) pada hari Khamis (1 Disember) kelak.
Featured Image: FIFA World Cup