Piala Dunia: Ikat Sepanyol, Jerman Hidupkan Peluang Ke Pusingan 16
November 28, 2022 β€’ Hafizuddin Omar

Juara empat kali, Jerman berhasil memastikan peluangnya untuk mara ke Pusingan 16 di Piala Dunia 2022 Qatar masih terbuka.

Ini selepas skuad bimbingan Hansi Flick berjaya mengikat Sepanyol dalam aksi kedua melibatkan saingan peringkat Kumpulan E yang berlangsung di Al Bayt Stadium, sebentar tadi.

Dalam perlawanan terbabit, Sepanyol yang mendominasi hampir sepanjang permainan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain gantian, Alvaro Morata pada minit ke-62 setelah mendapat bola daripada Jordi Alba.

Namun begitu, Jerman yang tidak mengenal erti putus asa berjaya menyamakan kedudukan juga melalui pemain gantian, Niclas Fullkrug pada minit ke-83 setelah menerima hantaran daripada Jamal Musiala.

Dan kedudukan seri 1-1 itu berkekalan sehingga pengadil perlawanan, Danny Makkelie dari Belanda meniup wisel menamatkan permainan.Β 

Walaupun sekadar memungut satu mata, ianya memadai untuk menghidupkan peluang buat Jerman ke Pusingan 16 lebih-lebih lagi tumpas mengejut kepada Jepun dalam aksi pertama, Rabu lalu.

Sementara itu, keputusan seri ini membolehkan Sepanyol mendahului Kumpulan E dengan pungutan 4 mata daripada 2 perlawanan.

Mengikuti Sepanyol di tempat kedua ialah Jepun yang mempunyai 3 mata serta Costa Rica di tempat ketiga dengan pungutan mata yang sama.

Untuk perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E, Jerman akan berhadapan dengan Costa Rica manakala Sepanyol pula akan membuat perhitungan dengan Jepun.

Kedua-dua perlawanan ini dijadualkan berlangsung serentak pada awal pagi Jumaat, jam 3 pagi (waktu Malaysia).

Bagi membolehkan mara ke Pusingan 16, Jerman wajib meramkamkan kemenangan ke atas Costa Rica disamping mengharapkan Jepun tumpas di tangan Sepanyol.

Featured Image: FIFA World Cup

Komen