Piala Dunia: Cameroon Bangkit Ikat Serbia, Elak Terkandas Awal
November 28, 2022 Hafizuddin Omar

Wakil benua afrika, Cameroon berhasil mengelak daripada tersingkir awal di peringkat Kumpulan G selepas mengharungi dua perlawanan dalam saingan Piala Dunia 2022 Qatar.

Cameroon yang mendapat bimbingan Rigobert Song turun menentang Serbia dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub sebentar tadi terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Jean-Charles Castelletto pada minit 29’.

Namun begitu, Serbia kembali mendahului di hadapan dengan skor 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama apabila dua pemainnya, Strahinja Pavlovic dan Sergej Milinkovic-Savic berjaya meletakkan bola di dalam gawang pada minit 45+1’ dan 45+3’.

Bersambung separuh masa kedua, Serbia menambah satu lagi jaringan menerusi Aleksandar Mitrovic pada minit 53’ untuk menjadikan kedudukan semasa 3-1 ke atas Cameroon.

Di saat ramai menyangkakan skor itu berkekalan sehingga tamat permainan, Cameroon secara tiba-tiba bangkit mengejar dan mengikat Serbia 3-3 menerusi dua jaringan oleh Vincent Aboubakar dan Eric Maxim Choupo-Moting.

Menariknya, kedua-dua jaringan itu hadir dengan selang masa tiga minit sahaja iaitu pada minit 63’ dan 66’ masing-masing.

Sementara itu, keputusan 3-3 memberikan Cameroon dan Serbia satu mata masing-masing daripada pertarungan ini. Kedua-duanya menghuni tangga ketiga dan keempat Kumpulan G masing-masing.

Untuk perlawanan seterusnya merangkap perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Cameroon akan bertemu juara lima kali, Brazil. Manakala Serbia pula akan berhadapan dengan Switzerland.

Featured Image: FIFA World Cup

Komen