Persahabatan Antarabangsa: Dortmund Bantai JDT 4-1 Di Stadium Sultan Ibrahim
November 28, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi bola sepak Jerman, Borussia Dortmund mencetak kemenangan bergaya ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pada hari ini.

Dortmund yang turun dengan kelibat dua pemain ternama, Matt Hummels dan Emre Can berjaya menumpaskan skuad Harimau Selatan yang dibarisi pemain-pemain utama dengan keputusan 4-1.

Dalam perlawanan terbabit, Dortmund terlebih dahulu berjaya membuka jaringan menerusi Justin Njinmah seawal minit 11’. Selang 20 minit kemudian, Dortmund menggandakan kedudukan hasil jaringan daripada Donyell Malen.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Arif Aiman Hanapi berjaya meletakkan bola di dalam gawang Dortmund pada minit 41’ sekaligus menjadikan kedudukan 2-1 buat seketika.

Bersambung babak kedua, Dortmund menambah dua lagi jaringan melalui Ole Pohlmann dan Samuel Bamba pada minit 60’ dan 69’ masing-masing menjadikan kedudukan semasa 4-1.

Kedudukan itu kekal sehingga pengadil meniup wisel menamatkan perlawanan.

Untuk pengetahuan semua, kedatangan Dortmund dan berentap menentang JDT di SSI ini merupakan sebahagian daripada siri Jelajah Asia bersempena dengan rehat liga domestiknya bagi memberikan laluan kepada saingan Piala Dunia 2022 Qatar.

Ini bukanlah pertembungan yang pertama melibatkan kedua-dua kelab. Pada 2015 yang lalu, Dortmund dan JDT telah berentap sesama sendiri di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dimana ianya berkesudahan dengan kemenangan 6-1 memihak kepada Dortmund.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen