Piala Dunia: Ghana Serap Serangan Bertali Arus Korea, Pertahan 3 Mata
November 28, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan dari benua afrika, Ghana memastikan tiga mata menjadi milik mutlaknya dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan H selepas mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Korea.

Tiga mata itu dikutip selepas Ghana berhempas-pulas menahan asakan bertali arus skuad bimbingan Paulo Bento selepas berjaya mendahului dengan skor 3-2 bermula minit 68’ hasil jaringan Mohammed Kudus.

Sebelum itu, Ghana terlebih dahulu mendahului 2-0 hasil jaringan Mohammed Salisu dan Mohammed Kudus pada babak pertama, minit 24’ dan 34’ masing-masing.

Memasuki babak kedua, penyerang skuad berjulukan Taeguk Warriors, Cho Gue-sung berhasil meledak dua jaringan pada minit 58’ dan 61’ untuk mengikat seketika Ghana pada ketika itu.

Bermula saat itu, Korea yang diketuai oleh Son Heung-min mengasak Ghana bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan ketiga bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan ini.

Namun begitu, kekentalan Ghana bertahan secara berpasukan serta ketangkasan penjaga golnya, Lawrence Ati-Zigi menepis segala percubaan tepat yang datang ke gawangnya memastikan Ghana dapat menutup pertarungan ini dengan kemenangan.

Hasil daripada kemenangan ini, Ghana dapat menghuni tangga kedua Kumpulan H buat seketika. Manakala Korea pula terperosok di kedudukan terbawah.

Featured Image: FIFA World Cup

Komen