Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan sektor sukan di negerinya akan mendapat peruntukan sebanyak RM20 juta secara keseluruhan bagi tahun hadapan.
Perkara itu diumumkannya ketikan membentangkan Belanjawan 2023 yang bertemakan Memacu Terengganu Berdaya Tahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam.
Daripada jumlah yang dinyatakan itu, Samsuri memperincikan sebanyak RM14.5 juta akan digunakan bagi persediaan awal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 serta penganjuruan Sukan Terengganu (SUTERA).
Seterusnya, sebanyak RM600,000 pula akan diperuntukkan bagi penganjuran perlumbaan berbasikal jalan raya anjuran kerajaan negeri, Tour Gateh D’Tranung.
Akhir sekali, sebanyak RM4.9 juta pula diperuntukkan bagi penyelenggaraan dan pembinaan kemudahan-kemudahan sukan di negeri terbabit.
Untuk makluman semua, di awal sesi pembentangan, Samsuri memaklumkan Belanjawan 2023 memperuntukkan RM1.991 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM500 juta bagi perbelanjaan pembangunan dan RM30 juta bagi perbelanjaan bekalan air.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri Terengganu menganggarkan mengutip hasil berjumlah RM1.81 bilion dengan RM65.17 juta daripada hasil cukai, RM135.59 juta daripada hasil bukan cukai dan RM1.609 bilion daripada terimaan bukan hasil.
Featured Image: Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar