Leong Mun Yee Genggam Master Komunikasi Korporat UPM
November 29, 2022 Hafizuddin Omar

Selepas lima tahun mengikuti pengajian, bekas penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee kini merupakan pemegang Ijazah Sarjana atau Master Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bekas atlet yang berusia 37 tahun ini menerima Master tersebut daripada Sultan Selangor merangkap Canselor UPM, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-46 pada Sabtu lalu.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua pensyarah yang berkongsikan ilmu, rakan sekelas dan rakan-rakan yang membantu saya sepanjang pengajian ini.”

“Juga (ucapan terima kasih) kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk biasiswa sepanjang tempoh pengajian akademik di UPM,” ujarnya menerusi satu muat naik di laman sosialnya.

Namun begitu, kejayaan menggengam ijazah sarjana ini bukanlah satu pengakhiran buat Mun Yee dalam bidang akademik.

“Perancangan saya akan datang jika berpeluang saya ingin untuk menyambung pengajian saya ke peringkat (Ijazah) Sarjana dalam bidang Psikologi Sukan bagi memperlengkapkan lagi ilmu pengetahuan saya,” katanya lagi seperti dipetik daripada laman sesawang rasmi UPM.

Untuk makluman semua, sebelum ini Mun Yee juga merupakan graduan dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi UPM pada tahun 2017.

Sebagai rekod, Mun Yee yang mengumumkan persaraannya pada penghujung tahun lalu pernah terlibat dalam lima edisi Sukan Olimpik, pemenang pingat perak dan gangsa Kejohanan Dunia, pingat perak Piala Dunia, pingat perak dan gangsa Sukan Komanwel & Asia serta pingat emas Sukan SEA.

Pada saat ini, Mun Yee berkhidmat sebagai jurulatih untuk skuad terjun negara.

Featured Image: Facebook Leong Mun Yee

Komen