Adakah pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Kelantan FC bakal diterajui oleh ketua jurulatih dari Korea pada musim hadapan?
Penggunaan tenaga kejurulatihan dari Korea bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Seperti semua sedia maklum, badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menggunakan khidmat ketua jurulatih dari Korea iaitu Kim Pan-gon bagi membimbing skuad senior kebangsaan, Harimau Malaya.
Menerusi satu muat naik status di laman sosial, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau terkenal dengan panggilan Zamsaham bertanyakan pandangan mengenai jurulatih dari negara republik tersebut, pada hari ini.
“Kalau head coach Korea ok? Minta pandangan ikhlas tuan-tuan sekalian.” tulisnya.
Pelbagai respon diberikan oleh para pengikutnya memenuhi ruangan komen pada status yang dimuat naik tersebut.
Ada yang bersetuju tanpa syarat. Terdapat juga yang bersetuju namun menasihatkan untuk memperhalusinya dari sudut latar belakang dan pencapaian bagi setiap jurulatih itu.
Salah seorang daripada pengikutnya pula menasihatkan agar Norizam mendapatkan pendapat dan cadangan mengenai jurulatih dari Korea itu daripada Pan-gon.
Sementara itu, dalam muat naik yang sama, di ruangan komen, Norizam turut memaklumkan berkenaan status bekas ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam masih dalam perbincangan.
Dalam satu laporan media pada September lalu, Norizam mengesahkan bakal ada perubahan terhadap posisi ketua jurulatih skuad berjulukan The Red Warriors ini untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.
Pada ketika itu, beliau sedang mempertimbangkan beberapa calon dari benua eropah dan asia dimana ianya berkemungkinan dari Korea mahupun Jepun bagi menggantikan Rezal Zambery Yahya.
Featured Image: Kelantan FC