Piala Dunia: Belanda, Senegal Muncul Juara & Naib Juara Kumpulan A
November 30, 2022 Hafizuddin Omar

Belanda dan Senegal berhasil menamatkan cabaran peringkat Kumpulan A selaku juara dan naib juara masing-masing dalam saingan Piala Dunia 2022 Qatar.

Kejayaan pasukan yang menghuni ranking kelapan dan ke-18 dunia ini muncul juara dan naib juara kumpulan membolehkan mereka mencetak kemaraan ke saingan kalah mati, Pusingan 16.

Belanda yang dibimbing oleh Louis van Gaal mengesahkan kejuaraan selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Qatar dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Kemenangan itu hasil daripada jaringan oleh Cody Gakpo dan Frenkie de Jong pada minit 26’ dan 49’ masing-masing.

Mereka menutup saingan peringkat kumpulan ini dengan 7 mata hasil daripada melakar dua kemenangan serta satu seri.

Sementara itu, Senegal yang turut dikenali sebagai skuad Lions of Teranga pula berhasil merekodkan kemenangan ke atas Ecuador dalam perlawanan akhir yang turut berlangsung pada waktu sama.

Senegal meraih kemenangan dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Ismaila Sarr dan Kalidou Koulibaly pada minit 44’ dan 70’ masing-masing.

Untuk makluman semua, ini merupakan kemaraan ke peringkat kalah mati yang pertama buat Senegal selepas dua dekad. Kali terakhir mereka mara ke peringkat ini adalah pada saingan Piala Dunia edisi 2002 lalu. 

Featured Image: FIFA World Cup

Komen