Artikel

Faisal, Safawi, Brendan & Dion Dilantik Selaku Kapten Harimau Malaya

Seramai empat kapten dinamakan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon pada kem latihan pusat menjelang saingan Piala AFF 2022.

Perkembangan mengenai penamaan empat kapten buat skuad Harimau Malaya oleh Pan-gon ini dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Berdasarkan makluman itu, dua daripada empat kapten tersebut merupakan nama baharu iaitu Brendan Gan dan Faisal Halim. 

Difahamkan, dua pemain ini dipilih bagi menggantikan salah seorang kapten merangkap penyerang yang tidak tersenarai pada kem latihan kali ini, Syafiq Ahmad.

Sementara itu, Dion Cools dan Safawi Rasid yang merupakan kapten pada kejohanan King’s Cup di Chiang Mai, Thailand pada September lalu dikekalkan selaku kapten oleh Pan-gon pada kem latihan kali ini.

Untuk makluman semua, kem latihan ini bermula sejak semalam, 29 November.

Sebelum turun beraksi di kejohanan Piala AFF pada kali ini, skuad Harimau Malaya akan mengharungi dua perlawanan antarabangsa yang berfungsi sebagai aksi pemanas badan bertemu Kemboja dan Maldives pada 9 dan 14 Disember kelak.

Featured Image:  PFA Malaysia

komen