Esteban Solari Ketua Jurulatih Baharu JDT, Hector Naik Pangkat Jadi Pengarah Teknikal
November 30, 2022 Hafizuddin Omar

Hector Bidoglio yang menghadirkan kejuaraan Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia tidak lagi bergelar ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.

Difahamkan, Hector telah diberikan peranan baharu iaitu sebagai Pengarah Teknikal JDT pada tahun hadapan. Dan perkembangan ini menjadikan kerusi ketua jurulatih skuad Harimau Selatan kosong. 

Namun begitu, kekosongan itu tidak lama apabila pemiliknya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) sudah mempunyai calon untuk mengisinya.

Menerusi satu video bual bicara yang dimuat naik di platform media sosial JOHOR Southern Tigers sebentar tadi, TMJ memaklumkan kekosongan itu akan diisi oleh individu kelahiran Argentina yang berusia 42 tahun iaitu Esteban Solari.

“Kami akan ada jurulatih baru, dan saya secara peribadi mengagumi jurulatih baharu ini kerana saya kenal dia dah beberapa tahun dan kami dalam komunikasi dalam beberapa tahun,  

“Beliau sekarang ada di pasukan Argentina bawah 23 tahun bersama-sama Javier Mascherano dan juga telah diberikan tawaran untuk ke River Plate dan skuad remaja Barcelona,”

“Tetapi saya somehow dapat meyakinkan beliau untuk bersama-sama dengan saya untuk teruskan pembangunan dan projek bola sepak Johor Darul Ta’zim iaitu Esteban Solari, adik kepada Santiago Solari yang berada di Real Madrid,” jelas TMJ menerusi video berkenaan.

Memandangkan Hector dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Teknikal, penyandang pada ketika ini, Alistair Edwards turut mendapat jawatan baharu.

Jawatan baharu yang disandang oleh Alistair selepas ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT.

“Dia (Esteban) yang akan ambil alih sebagai ketua jurulatih skuad utama Johor Darul Ta’zim dan Hector Bidoglio akan berada sebagai Technical Director dan Alistair Edwards akan jadi CEO,” tambahnya.

Featured Image: AFA – Seleccion Argentina

Komen