Piala Dunia: Australia Jejak Peringkat Kalah Mati Selepas 16 Tahun
December 1, 2022 β€’ Hafizuddin Omar

Wakil benua asia, Australia berjaya menempah tiket kemaraan ke peringkat kalah mati dalam saingan Piala Dunia buat pertama kali selepas 16 tahun.

Skuad berjulukan Socceroos ini melakar kemaraan tersebut selepas berhasil menumpaskan Denmark dalam perlawanan peringkat Kumpulan D, sebentar tadi.

Dalam perlawanan terbabit, Australia merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Denmark hasil jaringan Mathew Leckie pada minit 60’.

Sejurus jaringan berkenaan, Australia bermati-matian menahan asakan bertali arus Denmark bagi mempertahankan pendahuluan tersebut.

Akhirnya, usaha itu berbaloi sama sekali apabila kedudukan terbabit kekal sehingga pengadil perlawanan meniup wisel menamatkan permainan.

Keputusan itu membolehkan mereka memungut tiga mata yang cukup berharga serta memadai meletakkan skuad bimbingan Graham Arnold ini di selaku naib juara Kumpulan D.

Kedudukan itu menjadi miliknya selepas mengutip 6 mata hasil daripada melakar dua kemenangan termasuk kemenangan ke atas Tunisia pada perlawanan kedua, baru-baru ini.

Untuk makluman semua, kali terakhir Australia mara saingan kalah mati di pentas Piala Dunia adalah edisi yang berlangsung di Jerman pada tahun 2006 yang lalu.

Featured Image: FIFA World Cup

Komen