Artikel

Piala Dunia: Tunisia Tumpaskan Juara Bertahan Namun Gagal Ke Pusingan 16

Wakil benua afrika, Tunisia berhasil melakar satu kejutan dengan menumpaskan juara bertahan, Perancis dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan dalam saingan Piala Dunia 2022.

Namun begitu, kemenangan 1-0 itu tidak memberikan makna yang besar buat skuad berjulukan Eagles of Carthage kerana tidak dapat membantu melayakkan mereka ke Pusingan 16.

Jaringan tunggal kemenangan itu disumbangkan oleh penyerang yang beraksi dalam Liga Perancis bersama Montpellier, Wahbi Khazri pada minit 58’.

Untuk makluman semua, Tunisia gagal mara ke Pusingan 16 disebabkan Australia yang turut sama berada dalam Kumpulan D berjaya melakar kemenangan 1-0 ke atas Denmark, sebentar tadi.

Kemenangan yang dilakar oleh Australia itu membolehkan mereka menamatkan cabaran Kumpulan D dengan kutipan sebanyak 6 mata daripada 3 perlawanan sekaligus bergelar naib juara.

Manakala Tunisia pula terpaksa berpuas hati menamatkan cabaran Kumpulan D di tempat ketiga selepas sekadar mengutip 4 mata daripada 3 perlawanan.

Sementara itu, Perancis walaupun menanggung kekalahan tetap berhasil menamatkan saingan Kumpulan D ini selaku juara dengan kutipan 6 mata daripada 3 perlawanan.

Featured Image: FIFA World Cup

komen