Cabaran Antarabangsa Bahrain: Tze Yong Lepasi Pusingan 32, Joo Ven Kandas
December 1, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Tze Yong berhasil memulakan Cabaran Antarabangsa Bahrain yang disertainya dengan langkah kanan.

Tze Yong yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan tidak mempunyai masalah untuk merekodkan kemenangan ke atas pemain India, Sathish Karunakaran secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-17 pada Pusingan 32.

Kemenangan itu sekaligus membolehkannya menempah tiket ke Pusingan 16. Di peringkat ini, Tze Yong akan turun berentap dengan seorang lagi pemain India iaitu Meiraba Maisnam.

Pemain berusia 19 tahun ini mara selepas menundukkan lawannya, pemain Indonesia, Bodhi Gotama menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 17-21, 21-14 dan 21-15.

Sementara itu, seorang wakil negara merangkap perseorangan bebas (independent) iaitu Soong Joo Ven yang turut sama beraksi dalam kejohanan ini mengalami nasib yang berbeza dan terpaksa akur tumpas di Pusingan 32.

Joo Ven yang diletakkan sebagai pilihan keenam tumpas kepada pemain India, Kartikey Kumar secara “straight set” dengan skor 13-21 dan 14-21 sekaligus terlepas tiket kemaraan ke pusingan berikutnya.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen