Artikel

Terengganu FC Lantik Tomislav Sebagai Ketua Jurulatih – Kontrak Selama Setahun

Kekosongan kerusi ketua jurulatih bagi skuad berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC yang ditinggalkan oleh Nafuzi Zain sudah mempunyai penggantinya.

Menerusi muat naik di pelbagai platform media sosialnya, bekas individu yang pernah membimbing T-Team FC suatu masa dahulu, Tomislav Steinbruckner diangkat menjadi ketua jurulatih Terengganu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC bagi musim 2023 kelak.

Difahamkam, Tomislav menandatangani kontrak selama setahun selaku ketua jurulatih Terengganu bermula 1 Disember 2022 dan tamat pada 31 Disember 2023. 

Untuk makluman, Tomislav yang berusia 56 tahun dan berasal dari Croatia ini tidak asing dengan skuad Terengganu dimana dia berperanan sebagai Pengarah Teknikal sejak Mac lalu.

Tanggungjawab yang perlu dipikul oleh Tomislav pada musim hadapan pastinya besar dan berat lebih-lebih Terengganu di bawah kendalian Nafuzi telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi dengan muncul naib juara Piala FA, Liga Super serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim ini.

Sebagai rekod, ketika membimbing T-Team selama semusim pada tahun 2015, dia berhasil membawa skuad itu menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan ketiga.

Sementara itu, perlawanan pertama yang akan dihadapi oleh Tomislav pada musim hadapan adalah bertemu gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan pembuka tirai, Piala Sumbangsih.

Featured Image: Terengganu FC

komen