TMJ: Piala AFF Mengacau Pemain & Jadual Pertandingan
December 1, 2022 Hafizuddin Omar

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) menganggap saingan bola sepak dwitahunan, Piala AFF sebagai mengacau pemain dan jadual pertandingan.

Pada pendapatnya, kejohanan yang mengumpulkan 10 pasukan kebangsaan terbaik rantau asia tenggara dan diadakan setiap penghujung tahun itu menyebabkan para pemain yang dipanggil untuk menyertainya tidak dapat bercuti ketika saingan liga tempatan berehat.

Tunku Ismail menyatakan perkara berkenaan di ruangan komen akaun Instagram milik Utusan Malaysia yang memaparkan hantaran mengenai reaksi ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mengenai sebilangan pemain yang menolak untuk menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF kelak. 

Seramai 12 pemain dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak panggilan tersebut dan 11 daripadanya merupakan pemain JDT. Seorang lagi pemain adalah Nor Azam Azih dari Sri Pahang FC.

Turut memasuki senarai ini adalah dua pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) iaitu Akram Mahinan dan Declan Lambert sepertimana dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman pada Selasa lalu.

View this post on Instagram

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Pemain tidak menolak buta-buta. Mereka sentiasa memberikan komitmen yang tinggi apabila mewakili pasukan kebangsaan. Kita boleh tengok dengan performance (prestasi) permain dalam national team (skuad kebangsaan) apabila mereka bermain di setiap pertandingan yang ada dalam kalendar FIFA. Mereka memberi (komitmen) sepenuhnya.”

“Tetapi pemain juga adalah manusia yang bekerja, training (berlatih), main, semenjak bulan Januari. Manusia mana kerja tanpa cuti?“

“Apabila liga atau pertandingan domestik kita break, pemain national team tiada break kerana mereka ada training camp (kem latihan) selama 3 minggu.” 

“Kita adalah satu satunya negara yang training camp paling lama. Negara jiran semua dah ikut konsep europe (eropah) dimana training camp hanya seminggu sebelum perlawanan.”

“Piala AFF adalah piala yang mengacau pemain dan competition schedule (jadual pertandingan). Contoh pemain report (lapor diri) Januari, Piala AFF habis 15 Januari. Bila nak dapat cuti? Satu tahun main bola dan training nonstop (berlatih tanpa henti) cuti hanya 6 hari dalam satu tahun?” tulisnya di ruangan komen tersebut.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail turut mempersoalkan individu yang meletakkan keutamaan untuk memburu kejuaraan Piala AFF ini.

“Yang terkejar-kejar piala AFF yang tiada dalam kalendar FIFA ini hanya mereka yang populist (populis) semata-mata nak dapat simpati atau sokongan orang ramai kerana nak naikkan imej peribadi, masih relevan dalam industri bola sepak tanah air. Apa punya pemimpin atau ketua tiada simpati terhadap pekerjanya? Tiada rasa segan.”

Baginda turut menyatakan kebimbangan sekiranya para pemain yang menyertai saingan ini ditimpa kecederaan dan ianya terpaksa ditanggung untuk merawatnya disamping kehilangan khidmat pemain tersebut untuk digunakan pada musim hadapan.

“Yang bayar gaji dan invest (melabur) adalah club (kelab) bukan awak. Apa punya sikap pakai barang orang tetapi tiada bersikap bertimbang rasa. Bayangkan anda beli dan bayar kereta tapi orang lain pakai kereta sesuka hati mereka. Apabila rosak, anda yang kena betulkan, sedangkan kereta tu anda yang punya.”

“Nak berjaya kita semua kena kerja secara kolektif. Pemain sudah membuktikan komitmen mereka dengan qualified (layak) dalam Asia Cup (Piala Asia). Takkan (Piala) AFF yang dunia tak mengambil serius pun kita terkejar-kejar semata-mata populariti, trend, dan voting. Aim bigger, think big.” tambahnya lagi. 

Featured Image: JOHOR Southern Tigers & AFF

Komen