Artikel

Sabah FC Sambar Penggempur Skuad Kebangsaan, Darren Lok

Pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC mula mengumumkan kedatangan pemain baharunya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2023.

Menerusi pelbagai platform media sosialnya, skuad berjulukan Sang Badak kendalian Datuk Ong Kim Swee ini mengumumkan penyertaan pemain baharunya yang pertama iaitu penggempur skuad kebangsaan, Darren Lok pada hari ini.

Sejak dua musim lalu, Darren mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan dengan merekodkan sebanyak 15 gol daripada 33 penampilan ketika beraksi bersama Petaling Jaya City FC (PJ City).

Prestasi memberangsangkan pemain kacukan England-Malaysia ini turut menarik perhatian barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya untuk memanggilnya bagi beraksi dalam beberapa perlawanan antarabangsa.

Sementara itu, Sabah turut mengumumkan pelepasan seorang penyerang importnya, Jose Embalo, 29 tahun, yang merupakan kelahiran Portugal dan mempunyai pasport Guinea-Bissau pada tengah hari tadi.

Embalo didatangkan oleh Sabah pada jendela perpindahan pertengahan musim sekitar penghujung Jun lalu. Kehadirannya adalah untuk menggantikan penyerang import dari Brazil, Neto Pessoa.

Bersama Sabah, Embalo hanya sempat tampil dalam sembilan perlawanan dan menjaringkan satu gol sahaja.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen