Artikel

Piala Dunia: Maghribi Juarai Kumpulan F, Mara Ke Saingan Kalah Mati Selepas 36 Tahun

Pasukan dari benua afrika, Maghribi tidak mempunyai masalah untuk menamatkan saingan Kumpulan F selaku juara biarpun diundi bersama-sama Belgium dan Croatia yang menghuni ranking lebih tinggi iaitu ke-2 dan ke-12 dunia masing-masing.

Skuad berjulukan The Atlas Lions yang berada di ranking ke-22 dunia mengesahkan status kejuaraan itu selepas menumpaskan Kanada dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Dalam perlawan terbabit, Hakim Ziyech dan Youssef En-Nesyri muncul penjaring buat Maghribi pada minit 4’ dan 23’ masing-masing. Manakala jaringan saguhati Kanada pula berpunca daripada jaringan sendiri pemain Maghribi, Nayef Aguerd pada minit 40’.

Hasil daripada kemenangan ini, tiga mata dapat dipungut dan Maghribi menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan 7 mata menerusi dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Untuk makluman semua, ini merupakan kemaraan Maghribi ke saingan kalah mati yang pertama selepas 36 tahun. Kali terakhir mereka mara adalah dalam saingan Piala Dunia yang berlangsung di Mexico pada tahun 1986 yang lalu. 

Featured Image: FIFA World Cup

komen