Juara bertahan, Thailand telah mengumumkan senarai 24 pemain yang dipilih ketua jurulatihnya, Alexandre ‘Mano’ Polking bagi mengharungi saingan Piala AFF 2022.
Berdasarkan penelitian dalam senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) semalam, skuad berjulukan Gajah Perang dilihat menyenaraikan bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (Kedah), Sanrawat Dechmitr.
Pada masa yang sama, tiada kelibat pemain yang beraksi dalam kancah J-League iaitu Chanathip Songkrasin (Kawasaki Frontale) dan Supachok Sarachat (Consadole Sapporo) dipanggil pada kali ini.
#OFFICIAL ประกาศรายชื่อ 24 แข้งช้างศึก ชุดชิงแชมป์อาเซียน พร้อมเก็บตัวอุ่นเครื่องกับ เมียนมา และ ไชนีส ไทเป
รายละเอียด : https://t.co/XSbWbimA1H#ช้างศึก #ทีมชาติไทย #Changsuek #บอลไทย #ฟุตบอลไทย #AFFChampionship #ฟุตบอลชิงแชมป์อาเซียน2022 #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/RbF71mYm9w
— Changsuek – ฟุตบอลทีมชาติไทย (@Changsuek_TH) December 1, 2022
Selebihnya, 23 nama lagi merupakan pemain yang beraksi dalam kancah domestiknya yang terdiri daripada kelab-kelab seperti Buriram United, BG Pathum United, Chonburi, Muangthong United, Chiangrai United, Port FC, Ratchaburi FC dan Police Tero.
Sebagai perbandingan, hanya lapan daripada 24 pemain ini merupakan sebahagian daripada skuad yang membawa Thailand menjuarai Piala AFF edisi lalu.
Mereka ialah Theerathon Bunmathan, Kritsada Kaman, Weerathep Pomphan, Sarach Yooyen, Sivakorn Tiatrakul, Bordin Phala, Adisak Kraisorn dan Teerasil Dangda.
Untuk makluman semua, pemain-pemain yang disenaraikan ini dikehendaki untuk melapor diri pada kem latihan skuad kebangsaan pada 6 Disember kelak.
Sebelum mengharungi saingan Piala AFF, Thailand terlebih dahulu akan beraksi dalam perlawanan antarabangsa yang berfungsi sebagai aksi pemanas badan menentang Myanmar dan Taiwan pada 11 dan 14 Disember masing-masing.
Sebagai tambahan, saingan Piala AFF kali ini menyaksikan Thailand diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Brunei, Kemboja, Indonesia dan Filipina.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC