Naib juara Liga Super dan Piala FA, Terengganu FC tidak menunggu lama untuk membentuk pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2023 kelak.
Perancang kelahiran Haiti yang berusia 33 tahun, Sony Norde menjadi pemain import pertama diumumkan ditandatangani Terengganu pada jendela perpindahan kali ini.
Dimaklumkan bekas pemain Melaka United FC ini diberikan kontrak selama setahun yang akan menyaksikan Sony kekal bersama skuad Hitam Putih ini sehingga hujung tahun 2023.
Disamping itu, Sony turut diberikan jersi bernombor 11 untuk disarungnya bersama Terengganu pada musim hadapan.
Selamat Datang Sony Norde! 🏴🏳️⚡️#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/7vVtkVJxAz
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) December 1, 2022
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Terengganu menerusi laman sesawang rasmi serta pelbagai platform media sosialnya, semalam.
Difahamkan, antara faktor Sony memilih untuk menyertai Terengganu kerana melihat pasukan ini merupakan salah sebuah pasukan terbaik dalam Liga Malaysia. Selain itu, Sony turut melihat skuad yang bakal dibimbing oleh Tomislav Steinbruckner ini dibarisi pemain-pemain tempatan yang mempunyai kualiti yang baik.
Kekaguman terhadap penyokong-penyokong Terengganu serta cara mereka menghargai para pemain yang beraksi bersama pasukan ini turut menjadi tarikannya.
Sebagai bonus, peluang untuk beraksi dalam saingan Piala AFC pada musim hadapan turut menjadi faktor kedatangannya ke Terengganu.
Untuk rekod, Sony mula menyertai Melaka United pada tahun 2020. Sepanjang bersama skuad berjulukan Hang Tuah ini, Sony telah merekodkan 9 gol serta 12 ‘assist’ daripada 49 penampilan secara keseluruhan.
Featured Image: Terengganu FC
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!