Artikel

Malaysia Dipilih Hos Jelajah BWF Super 100 Bagi Tahun 2023-24

Malaysia menjadi salah satu daripada tiga hos baharu bagi kejohanan Jelajah BWF (BWF Tour) Super 100 bagi kalendar pertandingan 2023 dan 2024.

Dua lagi hos baharu turut sama dipilih bersama-sama Malaysia ialah Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perkembangan ini dimaklumkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi satu kenyataan rasmi di laman sesawangnya, semalam.

Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung bermula 31 Oktober hingga 5 November bagi tahun 2023. Manakala untuk tahun berikutnya, ianya bakal berlangsung pada 15 hingga 20 Oktober.

Bagaimanapun, BWF belum mengesahkan secara rasmi venue bagi kejohanan Malaysia Super 100 tersebut.

Untuk makluman semua, kejohanan bertaraf Super 100 ini menawarkan 5,500 mata bagi setiap pemenang. Dan pungutan mata ini boleh dibawa untuk pengiraan Ranking Jelajah Dunia (World Tour Ranking) serta kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selari dengan pengumuman ini, Malaysia bakal menganjurkan tiga kejohanan badminton antarabangsa di bawah kawal selia BWF iaitu Terbuka Malaysia Super 1000, Malaysia Masters Super 500 dan Malaysia Super 100.

komen