Artikel

Ingin Kembali Bersama OKS Faktor Irfan Zakaria Sertai Sabah FC

Ingin meraih pengalaman baharu serta kembali bekerjasama dengan Datuk Ong Kim Swee (OKS) menjadi antara faktor utama buat Irfan Zakaria memilih menyertai Sabah FC.

Pertahanan dan pemain tengah bertahan berusia 27 tahun ini diperkenalkan sebagai pemain baharu Sabah menerusi makluman di pelbagai platform media milik kelab itu, semalam.

Pengumuman kedatangan Irfan itu sekaligus menoktahkan hubungannya dengan skuad berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City).

“Dua tahun di Kuala Lumpur, saya rasa telah mendapatkan banyak kejayaan besar seperti tahun lalu memenangi Piala Malaysia pada usia 100 tahun dan mengekalkan rekod tanpa kalah di Cheras.

“Musim ini, kami layak ke perlawanan akhir Piala AFC walaupun tanpa bajet yang besar,rahsianya semangat kekeluargaan yang menjadi kekuatan KL City dan saya tidak pernah ada masalah dengan pasukan.

“Mungkin bila dilihat faktor ini semua, saya tidak ada sebab untuk keluar dari pasukan namun keputusan saya ke Sabah adalah didorong kerana mahu mencari pengalaman baharu demi kemajuan karier.

“Bukan mudah saya buat keputusan ini malah dalam minggu lepas baharu saya memuktamadkan untuk ke Sabah kerana dalam masa sama turut berbincang dengan Bojan Hodak tentang perancangan KL City musim depan,” katanya.

Kim Swee bukanlah individu yang asing buat Irfan. Kedua-duanya pernah bekerjasama bermula daripada skuad bawah 23 tahun negara (B-23) dan skuad Harimau Muda pada suatu masa dahulu. Perkara itu sedikit sebanyak meyakinkannya untuk bersama Sabah di bawah kendalian jurulatih berusia 51 tahun terbabit.

“Saya sendiri pernah bekerjasama dengan Kim Swee semasa beraksi di skuad Bawah 23 tahun dan untuk ke sini, saya ada berbincang dengan beliau serba sedikit tentang taktikal musim depan.

“Jadi, mengenalinya sejak dahulu, saya dan sebahagian besar rakan-rakan lain yang pernah bersama-sama semasa Harimau Muda dan skuad Bawah 23, kami tahu cara dia bekerja sama ada dalam atau luar padang.

“Sedikit sebanyak kami mungkin boleh ikuti perancangan taktikal terbaharu yang beliau inginkan bagi harungi musim depan,” katanya.

Sebagai rekod, Irfan memulakan karier secara profesional bersama Harimau Muda sebelum berpindah ke pasukan Kuala Lumpur dari 2016 hingga 2019. 

Selepas itu, Irfan beralih angin dengan menyertai Kedah pada musim 2020 sebelum kembali semula bersama ke ibu kota dengan menyertai KL City pada tahun 2021.

Featured Image: AFC

komen