Artikel

Piala Dunia: Naib Juara Edisi Lalu Kekang Jepun Ke Suku Akhir

Penampilan Jepun dalam saingan Piala Dunia kali ini tampak luar biasa lebih-lebih lagi selepas menumpaskan Jerman dan Sepanyol di peringkat kumpulan dan muncul juara Kumpulan E.

Namun begitu, perjalanan skuad berjulukan Samurai Biru menemui noktahnya selepas bertemu naib juara edisi lalu, Croatia di Pusingan 16.

Dalam perlawanan terbabut, kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas beraksi selama 120 minit permainan. Jepun terlebih dahulu merekodkan jaringan pendahuluan menerusi Daizen Maeda pada minit 43′ sebelum Ivan Perisic menemui jaringan penyamaan buat Croatia pada minit 55′.

Dengan kedudukan terikat 1-1, pemenang perlu ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. Akan tetapi, Jepun terpaksa akur tumpas pada penentuan sepakan penalti tersebut apabila penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic bertindak cemerlang dengan menafikan tiga sepakan penalti oleh pemain Jepun.

Hasilnya, Croatia berhasil memenangi penentuan sepakan penalti itu dengan keputusan 3-1 ke atas Jepun.

Kekalahan itu sekaligus mengekang Jepun daripada mara ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam sejarah pembabitan mereka di saingan bola sepak terulung dunia ini.

Sementara itu, Croatia yang berhasil merekodkan kemaraan akan menantikan cabaran suku akhir samada daripada Brazil atau Republik Korea untuk merebut tiket ke saingan separuh akhir.

Featured Image: FIFA World Cup

komen