Artikel

Kedah Beri Nafuzi Zain Kontrak 2 Tahun & Sambar Bekas Jurulatih Penjaga Gol Terengganu

Skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (Kedah) secara rasminya akan mengharungi saingan baharu Liga Malaysia musim 2023 dengan kehadiran ketua jurulatih baharu.

Kerusi pengendali skuad berjulukan Sang Kenari ini kosong selepas berpisah dengan jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak setelah menamatkan saingan Liga Super 2022 di tangga kelapan pada Oktober lalu.

Dalam Majlis Menandatangani Kontrak Ketua Jurulatih & MoU Rakan Strategik pada hari ini, pemilik majoriti pasukan, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mengumumkan bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain dilantik mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Coach Aidil itu.

Dr. Mohd Daud turut memaklumkan Nafuzi diberikan kontrak selama dua tahun bersama Kedah yang akan menyaksikannya kekal membimbing skuad Hijau Kuning sehingga tahun 2024.

Untuk rekod, Nafuzi yang berusia 44 tahun ini menjadi buah mulut para penyokong bola sepak tempatan selepas mempamerkan pencapaian yang agak memberangsangkan bersama Terengganu pada musim 2022 lalu.

Nafuzi berhasil membawa kelab berpangkalan di pantai timur itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia serta muncul naib juara Liga Super dan Piala FA. Pencapaian ini membolehkan Terengganu meraih slot ke saingan Piala AFC 2023-24 serta saingan Piala Sumbangsih 2023. 

Bukan itu sahaja, Dr. Mohd Daud turut mengumumkan kehadiran jurulatih penjaga gol Kedah yang baharu merangkap bekas jurulatih penjaga gol Terengganu iaitu Yazid Yassin menyertai barisan kejurulatihan yang dipimpin oleh Nafuzi Zain.

Featured Image: Terengganu FC

komen