Artikel

Bekas Fisioterapi Selangor, Helber Richard Sertai Barisan Kejurulatihan Nafuzi Di Kedah

Perubahan barisan kejurulatihan Kedah Darul Aman FC (Kedah) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 bukan sahaja melibatkan ketua jurulatih dan jurulatih penjaga golnya sahaja.

Nafuzi Zain dan Yazid Yassin yang merupakan bekas ketua jurulatih dan jurulatih penjaga gol Terengganu FC diumumkan oleh pemilik majoriti Kedah, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dilantik sebagai ketua jurulatih dan jurulatih baharu skuad berjulukan Sang Kenari ini.

Dalam pengumuman yang sama, Dr. Mohd Daud mengumumkan bekas ahli fisioterapi Selangor FC, Helber Richard turut sama menyertai barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Nafuzi ini.

Helber yang berusia 38 tahun merupakan kelahiran Brazil yang mempunyai Ijazah Fisioterapi dan Diploma Perubatan Bola Sepak FIFA. 

Saingan bola sepak tempatan tidak begitu asing buat Helber. Untuk makluman semua, sebelum menyertai Selangor pada penghujung tahun 2019, Helber sudah berkecimpung dalam dunia bola sepak tanah air dengan menyertai Felda United sejak dari tahun 2016 lagi.

Sebagai rekod, Helber juga pernah menabur bakti di negara kelahirannya dengan menganggotai barisan kejurulatihan skuad bola sepak wanita Brazil dari tahun 2014 hingga 2016.

Untuk makluman semua, Helber dan skuad berjulukan Gergasi Merah berpisah pada penghujung November lalu setelah kedua-duanya tidak melanjutkan kontrak.

Featured Image: Selangor FC

komen