Juara dunia merangkap beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan mengharungi kempen Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 dalam Kumpulan B.
Keputusan Aaron-Wooi Yik diletakkan dalam Kumpulan B itu diketahui selepas majlis pengundian yang berlangsung di Centara Grand & Bangkok Convention Centre, Thailand, semalam.
Di dalam kumpulan tersebut, salah satu beregu yang akan dihadapi oleh Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking keempat dunia ini adalah gandingan Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dari Indonesia yang terkenal dengan julukan ‘The Daddies’.
Manakala baki dua beregu lagi yang perlu dihadapi oleh Aaron-Wooi Yik adalah beregu Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen serta gandingan China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi.
Sementara itu, satu lagi wakil negara merangkap beregu bebas (independent), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pula diundi dalam Kumpulan A.
Turut diundi bersama-sama Yew Sin-Ee Yi adalah beregu No.1 dunia, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi dari Jepun, beregu No.3 dunia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia serta beregu No.15 dunia, Choi Sol-gyu dan Kim Won-ho dari Korea.
Untuk makluman semua, saingan ini akan membuka tirainya pada hari esok (7 Disember). Dua beregu terbaik setiap kumpulan akan dapat mara ke saingan kalah mati iaitu separuh akhir.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia