Jelajah Dunia Akhir: Pearly-Thinaah Hadapi Beregu No.1 Dunia Dalam Kumpulan B
December 6, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 dunia, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan menjadi salah satu pasangan yang akan ditentang oleh beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam Jelajah Dunia Akhir BWF 2022.

Perkembangan itu hadir selepas majlis undian yang dijalankan di Centara Grand & Bangkok Convention Centre, Thailand, semalam.

Hasil undian itu juga menyaksikan kedua-dua wakil China dan Malaysia diundi dalam Kumpulan B. 

Turut sama diundi dalam Kumpulan B adalah sepasang lagi wakil China, Zhang Shu Xian dan Zheng Yu yang menghuni ranking ketujuh dunia serta pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti yang menduduki ranking ke-14 dunia.

Sementara itu, satu wakil negara merangkap beregu bebas (indpendent), Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien pula diletakkan dalam Kumpulan A.

Pasangan yang berada di ranking ke-24 dunia ini akan berhadapan dengan beregu No.5 dunia dari Korea, Jeong Na-eun dan kim Hye Jeong serta dua beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai serta Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard.

Hari pertama saingan ini akan bermula pada esok (7 Disember). Juara dan naib juara bagi setiap kumpulan akan layak mara ke saingan kalah mati iaitu separuh akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen