Artikel

Jelajah Dunia Akhir: Pearly-Thinaah Bermula Langkah Kiri, Tumpas Kepada Beregu Indonesia

Beregu No.1 wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan memulakan kempen Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 dengan langkah kiri.

Pearly-Thinaah terpaksa akur tumpas kepada beregu Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silvia Ramadhanti pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan B, sebentar tadi.

Beregu Indonesia yang menghuni ranking ke-14 dunia ini merupakan pasangan yang sama ditumpaskan oleh Pearly-Thinaah dalam kejohanan Terbuka Perancis – Jelajah Dunia Super 750 yang dimenangi mereka baru-baru ini.

Lebih malang, Pearly-Thinaah tumpas kepada pasangan ini secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan dengan 21-23 dan 19-21 dalam tempoh masa 47 minit permainan atas gelanggang.

Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan keempat melibatkan kedua-dua pasangan ini. Kekalahan ini menjadikan rekod pertemuan melibatkan Pearly-Thinaah dan Apriyani-Siti Fadia seimbang dengan dua kemenangan dan kekalahan masing-masing daripada empat pertembungan.

Sementara itu, Pearly-Thinaah akan meneruskan cabaran Kumpulan B dengan bertemu beregu No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan pada hari esok.

Sebagai tambahan, Pearly-Thinaah perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan ini sekurang-kurangnya di tempat kedua sekiranya mahu mara ke saingan kalah mati iaitu separuh akhir. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen