Bojan Kekal Bimbing KL City, Tolak Pelbagai Tawaran Dari Pelusuk Benua Asia
December 7, 2022 Hafizuddin Omar

Jurulatih kelahiran Croatia, Bojan Hodak akan kekal membimbing skuad berpangkalan di ibu kota tanah air, Kuala Lumpur City FC (KL City) pada musim hadapan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard menerusi satu kenyataan yang dikongsikan oleh pelbagai platform media sosial rasmi kelab, pada hari ini.

“Sukacitanya saya ingin mengumumkan, Bojan Hodak akan terus kekal bersama kami untuk musim ketiganya walaupun beliau menerima pelbagai tawaran dari seluruh pelusuk benua asia.” 

“Musim ketiga Bojan in selaras dengan sasaran kelab untuk mencapai ketekalan dan daya saing sepanjang masa.” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Sepertimana pernah didedahkan oleh wartawan tempatan, Avineshwaran, khidmat jurulatih berusia 51 tahun ini pernah diintai kelab berpangkalan di negara seberang tambak, Lion City Sailors susulan kejayaannya mengemudi KL City mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022. 

Sementara itu, Stanley tanpa mendedahkan sebarang nama memaklumkan  khidmat para pemain yang berperanan besar dalam membantu kejayaan KL City dalam dua musim lalu ini turut dikekalkan.

Pada masa yang sama, pihaknya sedang memuktamadkan rundingan bersama beberapa pemain lain bagi menambahkan dan memperkuatkan skuad untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 kelak.

Featured Image: AFC

Komen