Artikel

Penjaga Gol Skuad Kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz Sertai Kedah – Kontrak 2 Tahun

Keputusan pihak pengurusan Petaling Jaya City FC (PJ City) menarik diri daripada beraksi dalam kancah Liga Super 2023 menyaksikan salah seorang penjaga golnya, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi angkat kaki dan menyertai pasukan baharu. 

Dan pasukan baharu yang menjadi pilihannya ialah Kedah Darul Aman FC (Kedah) yang bakal mendapat sentuhan ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain.

Penyertaan Kalamullah yang juga merupakan penjaga gol skuad kebangsaan bersama skuad Sang Kenari diumumkan secara rasmi oleh pihak kelab terbabit menerusi pelbagai platform media sosialnya, hari ini.

Difahamkam, penjaga gol berusia 27 tahun dan kelahiran Pasir Puteh ini menandatangani kontrak selama dua tahun yang menyaksikannya kekal bersama Kedah sekurang-kurangnya sehingga tahun 2024 kelak. 

Selain itu, Kalamullah yang mempunyai ketinggian 1.76 meter (m) ini akan mengenakan jersi bernombor 22 sepanjang beraksi bersama skuad Hijau Kuning.

Sebagai rekod, Kalamullah memulakan karier bola sepaknya dengan menyertai skuad Kelantan B-19 pada tahun 2012 sebelum menyertai Felda United B-21 selang dua tahun berikutnya. 

Pada tahun 2017, Kalamullah berjaya menembusi skuad senior Felda United dan kekal bersama pasukan itu sehingga tahun 2018 sebelum berhijarah menyertai PJ City FC yang ketika itu dikenali sebagai MISC-MIFA.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen