Beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi memulakan kempen dengan Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 dengan langkah kiri apabila tumpas kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayshi pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A, semalam.
Bagaimanapun, Yew Sin-Ee Yi yang merupakan gandingan bebas (independent) berhasil menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir apabila melakar kemenangan dalam perlawanan kedua, pada hari ini.
Kemenangan itu dicipta dalam pertemuan menentang beregu Korea yang menghuni ranking ke-15 dunia, Choi Sol-gyu dan Kim Won-ho. Lebih manis, kemenangan itu dilakar secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 23-21 dalam tempoh masa 40 minit permainan.
HSBC BWF World Tour Finals 2022
MD – Round 2
🇲🇾Yew Sin ONG🏅
21 23 🇲🇾Ee Yi TEO🏅
17 21 🇰🇷Sol Gyu CHOI
🇰🇷Won Ho KIM🕗 in 40 minutes
https://t.co/7YuEd986Zf— BWFScore (@BWFScore) December 8, 2022
Dengan kemenangan ini, mereka berhasil mengutip satu mata dan kini berada di tangga kedua Kumpulan A.
Bagaimanapun, bagi memastikan kemaraan ke separuh akhir, Yew Sin-Ee Yi tiada mempunyai sebarang pilihan melainkan mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir bertemu beregu Indonesia merangkap pendahulu Kumpulan A, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pada hari esok.
Pastinya ianya bukan satu pertarungan yang mudah buat Yew Sin-Ee Yi. Berdasarkan lapan pertemuan lalu, Yew Sin-Ee Yi hanya meraih dua kemenangan sahaja bertemu beregu No.2 Indonesia itu.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia