Juara Kejohanan Dunia BWF merangkap beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik secara rasminya gagal meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2022.
Situasi itu hadir apabila Aaron-Wooi Yik tumpas pada perlawanan kedua ketika menentang wakil China yang menghuni ranking ke-11 dunia, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi, sebentar tadi.
Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia terpaksa akur tumpas kepada gandingan terbabit menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-23, 22-24 dan 21-16 dalam tempoh masa melebihi satu jam pertarungan.
HSBC BWF World Tour Finals 2022
MD – Round 2
🇨🇳Yu Chen LIU🏅
23 22 21 🇨🇳Xuan Yi OU🏅
21 24 16 🇲🇾Aaron CHIA
🇲🇾Wooi Yik SOH🕗 in 66 minutes
https://t.co/qrYuOYiSoU— BWFScore (@BWFScore) December 8, 2022
Semalam, mereka turut mengalami kekalahan dalam perlawanan pertama ketika bertemu juara Kejohanan Dunia BWF sebanyak tiga kali, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan.
Hasilnya, Aaron-Wooi Yik gagal meraih sebarang mata daripada dua perlawanan ini.
Mereka mempunyai baki satu perlawanan di peringkat Kumpulan B bertemu beregu Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen yang juga senasib dengan Aaron-Wooi Yik gagal meraih sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanana.
Bagaimanapun, perlawanan ini hanyalah berfungsi sebagai pelengkap jadual memandangkan pemenang bagi pertembungan ini hanya akan menamatkan saingan di tempat ketiga bagi Kumpulan B.
Untuk makluman, gandingan Ahsan-Hendra dan Yu Chen-Xuan Yi sudah mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir setelah memungut dua mata daripada dua perlawanan masing-masing.
Pertemuan melibatkan gandingan dari Indonesia dan China ini pada hari esok hanya untuk menentukan juara dan naib juara bagi Kumpulan B.
Featured Image: Badminton Association of Thailand