Skuad bola sepak kebangsaan Filipina akan turun beraksi dalam saingan Piala AFF 2022 dengan bimbingan ketua jurulatih baharu.
Menerusi makluman rasmi di laman sosial milik pasukan kebangsaan negara itu, Josep Ferré Ybarz berusia 39 tahun dan berasal dari Barcelona, Sepanyol menjadi ketua jurulatih baharu buat skuad berjulukan The Azkals itu.
Walaupun berasal jauh di benua eropah sana, Josep atau dikenali sebagai Coach Coco tidak begitu asing dengan kancah bola sepak asia atau lebih spesifiknya di rantau asia tenggara.
Josep pernah berkelana di Hong Kong dan Thailand dengan berperanan sebagai pengarah akademi bagi Kitchee SC dan Buriram United. Kemudiannya, dia dilantik sebagai ketua jurulatih kepada Ratchaburi FC, Bangkok Glass FC dan FC Bayamon di Puerto Rico.
Selain itu, Josep juga pernah menyertai kelab yang berpangkalan di India iaitu East Bengal FC sebagai penolong ketua jurulatih pada tahun 2019.
Di negara kelahirannya, Josep mempunyai pengalaman terlibat bersama skuad remaja FC Barcelona.
Untuk makluman semua, kehadiran Josep ini secara langsungnya menggantikan Thomas Dooley yang merupakan ketua jurulatih Filipina sebelum ini.
Filipina yang diundi dalam Kumpulan A bagi saingan Piala AFF edisi kali ini akan memulakan kempen dengan menentang Kemboja pada 20 Disember kelak.
Sebelum bertemu Kemboja, Josep akan membawa pasukannya menentang Vietnam terlebih dahulu dalam satu perlawanan antarabangsa yang berperanan sebagai aksi pemanas badan sebelum saingan Piala AFF.
Featured Image: Ratchaburi FC