Artikel

Jelajah Dunia Akhir: Pearly-Thinaah Pulang Tangan Kosong

Tiada sebarang mata dipungut oleh gandingan wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam kempen Jelajah Dunia Akhir BWF 2022.

Terbaru, pasangan yang menghuni ranking kesembilan dunia ini mengalami kekalahan pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan B ketika bertemu beregu China, Zhang Shu Xian dan Zheng Yu, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Pearly-Thinaah tumpas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-19, 20-22 dan 21-9 dalam tempoh masa menghampiri satu jam.

Sebelum itu, mereka telah tumpas dalam perlawanan pertama dan kedua bertemu beregu Indonesia dan China masing-masing iaitu gandingan Apriyani Rahayu-Siti Fadia serta Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

Hasilnya, dengan kegagalan mengutip sebarang kemenangan daripada ketiga-tiga perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah terpaksa akur menamatkan kempen ini tanpa sebarang mata sekaligus menghuni tangga tercorot Kumpulan B.

Sebagai perbandingan, ini merupakan pencapaian yang lebih buruk berbanding Jelajah Akhir Dunia BWF 2021 dimana Pearly-Thinaah berhasil menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga.

Pada edisi itu, Pearly-Thinaah berada dalam satu kumpulan bersama-sama Greysia Polii & Apriyani Rahayu (Indonesia), Kim So-yeong & Kong Hee-yeong (Korea) dan Jongkolphan Kititharakul & Rawinda Prajongjai (Thailand).

Featured Image: Badminton Association of Thailand

komen