Artikel

Jelajah Dunia Akhir: Yew Sin-Ee Yi Muncul Juara Kumpulan, Wakil Kedua Negara Ke Semi-Final

Beregu lelaki bebas (independent), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menjadi wakil negara kedua melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Jelajah Akhir Dunia BWF 2022 setelah muncul juara bagi peringkat Kumpulan A.

Kemaraan itu disahkan selepas Yew Sin-Ee Yi menumpaskan beregu Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A.

Pada masa yang sama, kemenangan yang dicipta beregu Korea, Choi Sol-gyu dan Kim Won-ho ke atas wakil Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi dalam satu lagi perlawanan terakhir bagi kumpulan yang sama turut menyumbang kepada kejayaan Yew Sin-Ee Yi ini.

Biarpun Yew Sin-Ee Yi dan Fajar-Rian memungut dua mata yang sama masing-masing hasil daripada meraih dua kemenangan daripada tiga perlawanan, Yew Sin-Ee Yi muncul juara kumpulan atas faktor kelebihan “head-to-head” hasil kemenangan ke atas Fajar-Rian, hari ini.

Sementara itu, Fajar-Rian pula menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku naib juara.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua berturut-turut Yew Sin-Ee Yi mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF.

Pada edisi tahun lalu, Yew Sin-Ee Yi mara ke peringkat yang sama selepas muncul naib juara Kumpulan B.

Terdahulu, beregu campuran No.1 tanah air, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing muncul wakil pertama yang mengesahkan kemaraan ke peringkat yang sama selepas muncul naib juara Kumpulan B bagi kategori yang disertai mereka. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen