Artikel

Perlawanan Tier 1: Skuad Muka Baharu Harimau Malaya Bantai Kemboja

Skuad Harimau Malaya yang menampilkan majoriti muka baharu tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan ke atas Kemboja dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hari ini.

Perlawanan yang memberikan kaps pertama kepada Kalamullah Al-Hafiz, Shamie Iszuan, David Rowley, Lee Tuck, Stuart Wilkin, Sergio Aguero dan Aliff Izwan berhasil menamatkan aksi dengan keputusan 4-0.

Kemenangan tersebut dicetak menerusi jaringan berganda daripada Faisal Halim pada minit 11’ dan 45+1’ masing serta satu jaringan daripada Lee Tuck pada minit 38’.

Sebelum tamat babak kedua, Stuart Wilkin sempat menambah satu lagi koleksi gol buat Harimau Malaya pada minit 86′ dengan menyudahkan bola muntah yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Kemboja, Hul Kimhuy.

Kemboja yang kendalian jurulatih Jepun, Ryu Hirose ternyata tiada jawapan balas terhadap jaringan-jaringan tersebut sehingga saat pengadil perlawanan, Mongkolchai Pechhri meniup wisel menamatkan permainan.

Untuk makluman, perlawanan ini berperanan sebagai aksi pemanas badan buat skuad kebangsaan sebelum memulakan kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada 21 Disember menentang Myanmar.

Bagaimanapun, anak-anak buah Kim Pan-gon perlu menghadapi satu lagi aksi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 sebelum tarikh tersebut. 

Harimau Malaya dijadualkan menentang pasukan yang menghuni ranking ke-154 dunia, Maldives pada 14 Disember kelak bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Featured Image: Syamil Rosli / PFAM

komen