Artikel

Piala Dunia: Naib Juara Edisi Lalu Singkir Brazil Di Suku Akhir

Perjalanan pasukan yang menghuni ranking No.1 dunia, Brazil dalam kempen Piala Dunia 2022 Qatar nampaknya terhenti setakat peringkat suku akhir.

Ini gara-gara naib juara Piala Dunia edisi lalu, Croatia berhasil menumpaskan mereka menerusi penentuan sepakan penalti sekaligus menempah kemaraan ke peringkat separuh akhir.

Anak-anak buah Zlatko Dalic memenangi penentuan sepakan penalti itu dengan keputusan 4-2.

Pengambil sepakan penalti pertama dan keempat iaitu Rodrygo dan Marquinhos menjadi punca kepada kekalahan Brazil apabila gagal menyempurnakan sepakan masing-masing.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terpaksa akur menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1 selepas beraksi selama 120 minit permainan.

Jaringan mendapat jaringan menerusi Neymar pada minit 105+1’ sebelum Croatia kembali menyamakan kedudukan melalui Bruno Petkovic pada minit 116’.

Sepanjang permainan itu, penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic muncul antara pemain yang mencuri tumpuan ramai dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya Brazil.

Sementara itu, Croatia yang mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir ini akan menantikan cabaran samada daripada Belanda atau Argentina.

Featured Image: FIFA World Cup

komen