Artikel

Jelajah Dunia Akhir: Kian Meng-Pei Jing Kandas Di Separuh Akhir

Tiada sebarang kelibat wakil negara akan beraksi dalam perlawanan akhir kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 yang akan berlangsung pada hari esok.

Beregu campuran No.1 tanah air, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing terpaksa akur tersingkir daripada kejohanan ini setelah tumpas kepada pasangan China, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong di peringkat separuh akhir, sebentar tadi.

Sebelum itu, wakil negara dalam kategori beregu lelaki, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi terlebih dahulu tersingkir apabila tewas di tangan wakil Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan pada peringkat yang sama, petang tadi.

Dalam perlawanan terbabit, gandingan Kian Meng-Pei Jing yang berada di ranking kelapan dunia tumpas secara “straight set” kepada Si Wei-Ya Qiong dalam tempoh masa tidak sampai setengah permainan di atas gelanggang.

Dengan kekalahan ini, hasrat Kian Meng-Pei Jing untuk melangkah ke perlawanan akhir Jelajah Dunia Akhir buat pertama kali dalam karier hangus sama sekali dan terpaksa berpuas hati dengan membawa pulang kilauan pingat gangsa.

Pada masa yang sama, keputusan pertarungan ini juga menjadikan Kian Meng-Pei Jing merekodkan lapan kekalahan daripada kesemua lapan pertemuan menentang Si Wei-Ya Qiong di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Si Wei-Ya Qiong yang melangkah ke perlawanan akhir akan menantikan cabaran samada daripada beregu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Mentari atau beregu No.1 dunia dari Thailand, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Featured Image: Facebook VICTOR

komen