Pemain tengah bertahan (defensive midfielder) skuad kebangsaan yang menduduki ranking ke-108 dunia, Tajikistan menjadi pemain import baharu serta yang pertama direkrut oleh Kedah Darul Aman FC (Kedah) di bawah era bimbingan Nafuzi Zain.
Individu yang dimaksudkan itu ialah Amirbek Juroboev yang berusia 26 tahun serta kelahiran Dushanbe, Tajikistan yang mengisi slot pemain import kuota asia.
Pemain yang memiliki 46 kaps bersama Tajikistan ini diumumkan menyertai skuad Sang Kenari secara rasmi menerusi perkongsian di pelbagai platform media sosial milik kelab itu, pada hari ini.
Turut dimaklumkan, Amirbek diberikan kontrak selama setahun dan akan menyarung jersi Hijau Kuning bernombor 6 bermula saingan Liga Malaysia musim hadapan.
AMIRBEK JUROBAEV KINI SANG KENARI!
Selamat datang Amirbek Jurobaev ke bumi Jelapang Padi! Pemain import pertama pasukan Sang Kenari yang diumumkan ini berusia 26 tahun berasal dari Dushanbe, Tajikistan.
Amirbek beraksi di bahagian tengah dan nombor 6 menjadi pilihan beliau. pic.twitter.com/vXBBCskc0Q
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) December 10, 2022
Menariknya, pemain ini pernah turun mewakili Tajikistan sebanyak dua kali menentang skuad kebangsaan Malaysia.
Penampilan terbarunya adalah ketika beraksi dalam perlawanan akhir King’s Cup di Chiang Mai, Thailand pada September lalu yang menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk menjulang trofi ekoran tumpas pada penentuan sepakan penalti dengan keputusan 0-3.
Amirbek turut membuat satu lagi penampilan bersama skuad kebangsaan negaranya ketika bertemu Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa sekitar November 2019.
Bercakap mengenai karier di peringkat kelab, Amirbek memulakan kariernya di Rusia bersama skuad remaja CSKA Moscow pada tahun 2013.
Kemudiannya, dia berpindah randah dengan menyertai pelbagai pasukan seperti FK Khayr Vahdat (Tajikistan), Shakhtyor Soligorsk (Belarus), Barqi Tojik Hisor, FC Istiklol (Tajikistan), Navbahor Namangan (Uzbekistan) dan terakhir United City FC (Filipina).
Untuk makluman semua, pada hujung November lalu, Kedah dalam satu makluman telah mengumumkan melepaskan dan tidak menyambung kontrak kesemua pemain import yang beraksi bersamanya pada musim 2022.
Featured Image: Tajikistan Football Federation