Kempen juara bertahan, Perancis tidak terhenti setakat suku akhir sebaliknya berhasil meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022 Qatar.
Kemaraan itu direalisasikan selepas menumpaskan England dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Bayt, awal pagi tadi, waktu Malaysia.
Kemenangan skuad berjulukan Les Bleus ini hadir menerusi jaringan Aurelien Tchouameni dan Olivier Giroud pada minit 17’ dan 78’ masing-masing.
Manakala England yang berjulukan Three Lions pula berhasil meraih jaringan tunggal menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Harry Kane pada minit 54’.
England berpeluang untuk menyamakan kedudukan sekitar minit 84’ apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan. Akan tetapi, Kane gagal menyudahkannya sepertimana yang diambilnya pada kali pertama sekaligus menghanguskan peluang tersebut.
Ianya sekaligus menamatkan kempen Piala Dunia buat England kendalian Gareth Southgate pada edisi kali ini.
Kekalahan ini juga membuatkan England tidak dapat mengulangi pencapaian mara ke peringkat separuh akhir sepertimana edisi terdahulu – Piala Dunia 2018 Rusia.
Sementara itu, Perancis kendalian Didier Deschamps akan membuat perhitungan dengan wakil benua afrika, Maghribi pada peringkat separuh akhir kelak.
Featured Image: FIFA World Cup